Pengendali skuad B-23 Tahun Vietnam, Philippe Troussier meletakkan sasaran untuk pasukannya layak ke temasya Sukan Olimpik 2024 yang bakal diadakan di Paris, Perancis.

Troussier ketika ini sedang mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan peringkat kelayakan AFC B-23 Tahun yang mana pasukan itu diletakkan dalam kumpulan C bersama Singapura, Yemen dan Guam.

Sebelum ini, skuad B-23 Tahun Vietnam berjaya memenangi pingat gangsa dalam temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja selain memenangi AFF B-23 Tahun dengan menewaskan Indonesia baru-baru ini.

Philippe Troussier
Philippe Troussier

Troussier berkata dia telah bekerja dengan seramai 70 pemain, kebanyakannya telah beraksi dibawah bimbingannya sejak dia melatih pasukan B-19 Vietnam pada 2019-2020.

“Saya sedang menyiapkan pasukan untuk menghadapi saingan Piala Asia B-23 dan seterusnya Sukan Olimpik. Pemain juga perlu bersaing untuk mendapatkan tempat dalam pasukan kebangsaan pada perlawanan bulan Oktober,” kata Philippe Troussier.

Menurut jurulatih dari Perancis itu, saingan kumpulan C dilihat sukar dan beliau mahu agar pemain menampilkan prestasi terbaik sekaligus layak ke peringkat akhir.

“Kami adalah pasukan nombor satu di rantau Asia Tenggara. Tetapi apabila saya datang ke sini, misi saya adalah untuk memberi motivasi kepada pemain untuk melangkah lebih jauh di rantau ini dan seterusnya di peringkat dunia.

Sebanyak 16 pasukan yang muncul sebagai juara kumpulan ketika saingan kelayakan akan melayakkan diri ke peringkat akhir dan mana-mana pasukan yang mahu mendapat tempat ke Sukan Olimpik perlu menduduki sekurang-kurangnya tempat ketiga. Sekiranya menduduki tempat keempat, maka pasukan tersebut akan menghadapi aksi play-off menentang Guiena.